Sunday, June 13, 2010

Ilham Sakura

Ilham Sakura merupakan cerita pendek pertama yang diterbitkan. Secara rasminya dalam majalah sekolah menengah saya.

Dari mana mendapat inspirasi untuk menulisnya? Saya rasa ia berpunca dari kegemaran saya menonton drama Jepun pada petang Sabtu dan Ahad pukul 6.00. Pada waktu itu, Malaysia dibanjiri kehadiran drama-drama cinta Jepun yang menyeronokkan.

Budaya Jepun pada ketika itu sedang mengalami perubahan dari segi pemikiran. Gelombang hedonisme Barat berjaya menyelusup ke dalam pemikiran anak-anak muda Jepun yang kemudiannya memungkinkan drama Jepun mempertontonkan suatu karya yang menarik bagi saya pada ketika itu.

Salah satu fenomena yang menjadi kegilaan adalah cinta. Cinta merupakan suatu rutin biasa yang perlu, mesti dititipkan ke dalam sesebuah cerita. Kegemaran saya adalah With Love, lakonan Takuya Kimura yang sangat kacak, bersama si heroin yang kurang dikenali. Malah, drama ini tidak begitu dikenali di kalangan penonton Malaysia pun. Ia merupakan drama kedua/ketiga dipertontonkan di TV3 pada waktu itu. Saya sering kali menggemari sesuatu yang kurang popular. Ia lebih, mencabar.

Berbalik kepada fenomena cinta itu tadi, Ilham Sakura juga datangnya dari sumber cinta. Cinta antara seorang mahasiswa Melayu dengan seorang gadis Jepun. Cinta yang datang dari perasaan semata-mata. Tidak dicari. Terjumpa secara tidak sengaja. Takdir.

Saya percaya ia boleh berlaku dan boleh direalisasikan, hanya jika seseorang individu itu mempercayai dan mengikut perasaan itu. Saya rasa latar belakang cerita pendek saya diilhamkan dari drama Jepun yang berjaya memperlihatkan pemandangan yang indah dan memberikan inspirasi cinta daripada kelopak bunga sakura.

Di sekolah menengah lagi, telah wujudnya inspirasi/ilham yang pelbagai. Yang memberontak mahu dilepaskan. Maka banyaklah karya yang saya hasilkan. Cerpenlah paling aktif dihasilkan ketika itu. Ada 10 -15 cerpen dihasilkan. Sebuah novel pendek juga berjaya dihabiskan.

Mula-mula, cerpen hanya berkisar soal cinta yang cliche. Namun suatu saya mahukan, yang saya tentukan latar penceritaannya. Yang penghujungnya suatu yang saya suka. Saya mahukan kuasa menentukan bentuk cerita yang saya mahukan.

Happy ending.

Mungkin sekali saya hidup dalam fairy tale. Mungkin sekali ia suatu escapism dari realiti dunia saya. Oh saya tidak mengatakan dunia realiti saya hodoh. Jauh sekali. Saya berjaya capai apa yang saya citakan dalam dunia realiti saya. Saya puas hati. Pada masa yang sama, terdapat adventure lain yang saya ingin ceburi dan melalui penulisanlah saya luahkan.

Barang kali, genre cinta menjadi suatu kegemaran kerana ia membolehkan suatu fantasi direalitikan? Suatu yang saya tidak suka dan tolak dalam dunia realiti saya benarkan ia bernafas dan mengalir dalam dunia penulisan?

Oh saya amat gembira. Idea dan ilham datang mencurah-curah. Mengalir deras. Banyak yang saya mahu tulis dan lahirkan dalam perkataan.

Mungkin sekali pembaca akan lebih memahami apa yang saya maksudkan apabila membaca Ilham Sakura. Saya selitkan sekali puisi bertajuk Ilham Sakura di akhir cerita bagi membenarkan salah satu genre yang saya mahu telusuri dipertontonkan. Diperlihatkan.


13 Jun 2010

1 comment:

  1. Mungkin sekali saya hidup dalam fairy tale. Mungkin sekali ia suatu escapism dari realiti dunia saya. Oh saya tidak mengatakan dunia realiti saya hodoh. Jauh sekali. Saya berjaya capai apa yang saya citakan dalam dunia realiti saya. Saya puas hati. Pada masa yang sama, terdapat adventure lain yang saya ingin ceburi dan melalui penulisanlah saya luahkan.

    p/s : melalaui penulisan jugalah saya merasa...

    ReplyDelete