Saturday, June 12, 2010

Dari Kaca Mata Orang Biasa

Banyak sudah perbincangan dan percakapan didengari dan dibaca mengenai aspek kebahasaan dan kepenggunaannya di kalangan masyarakat; persoalan yang sering diutarakan adalah berkenaan kepentingannya dalam aspek masyarakat kini.

Kita sudah maklum akan pendirian dari pencinta bahasa, seperti para sasterawan dan kalangan penulis. Kita juga mendengar sudah pendirian dari pihak kerajaan dan kalangan yang mahukan kemajuan. Namun untuk mengetahui pandangan dan perspektif sebenar peri pentingnya bahasa di kalangan orang muda, remaja dan belia, bukankah lebih baik kalau ditanya pendapat kami sendiri.

Kami yang perlu ditanya adalah golongan remaja biasa, dari latar belakang pelbagai, sederhana akademik dan latar belakang keluarga. Bukan berasal dari latar belakang keluarga berakademik mahupun berada, hanya orang biasa yang sederhana. Pendapat merekalah yang penulis rasa perlu diketengahkan bagi menilai isi hati yang sebenar.

Kita tahu kalau dibincang dari segi pendapat pihak yang cintakan bahasa ibunda, tentulah pro sahaja dari segi menyokong penggunaan bahasa Malaysia di peringkat kebangsaan dan kontra isunya dari segi penggunaan bahasa Inggeris supaya diperluaskan hingga merosakkan bahasa ibundanya.

Dan jika didengar pula pendapat pihak kerajaan, tentulah mereka mengatakan tentang peri pentingnya bahasa Inggeris sebagai medium perantaraan Malaysia dengan negara luar dan kepentingannya dari aspek kemajuan ekonomi.

Namun begitu, penulis, yang melihat dan mendengar serta membaca luahan dan permintaan serta gesaan dari kedua-dua pihak ini merasakan ada perlunya menulis bagi meluahkan hati dari sudut orang biasa.

Orang biasa macam saya merasakan ada perlunya kedua-dua bahasa. Namun disebabkan keperluan masa kini yang mahukan kita menguasai bahasa Inggeris, maka kami dikehendaki mempelajari dan menuturkan bahasa ini. Dasar kerajaan dan pengaruh media menyebabkan bahasa ini tidak asing lagi dalam kehidupan seharian terutamanya bagi mereka yang menetap di bandar. Malah, pengaruh yang sangat kuat berkenaan bahasa bekas penjajah menyebabkan ramai yang menganggap bahasa ini lebih baik dari bahasa Malaysia dan bahasa ini lebih utama. Bagi penulis yang hanya berusia 20-an, pendapat sedemikian sememangnya mempengaruhi sedikit sebanyak cara pemikiran penulis. Penulis mengakui kadang-kadang menggunakan bahasa Inggeris terutamanya apabila bergaul dengan mereka yang berbangsa Cina dan India. Tujuannya dua, satu untuk membuktikan bahasa orang Melayu boleh berbahasa Inggeris dengan lancar, dan kedua, untuk memudahkan mereka memahami percakapan penulis.

Namun satu yang penulis ingin tegaskan, iaitu penulis apabila bertutur, seboleh-bolehnya menggunakan satu bahasa saja sewaktu bertutur dan mengelakkan dari mencampur-adukkan kedua-dua bahasa. Penulis tidak akan menggunakan bahasa rojak kecuali jika penulis tidak tahu perkataan Inggeris bagi perkataan bahasa Malaysia yang hendak disampaikan. Dan penulis juga tidak akan menuturkan bahasa Inggeris dalam perbualan seharian kecuali jika benar-benar perlu. Bagi penulis tidak perlulah dimegah-megahkan sangat menggunakan bahasa Inggeris, cukuplah menggunakannya bila perlu.


25 Ogos 2008

No comments:

Post a Comment