Saturday, January 22, 2011

Mengapa Ia Penting?

Awak tidak faham. Mengapa penting sangat hari ini?
Semua orang pun nak pertikaikan kepentingan hari ini.
Suka hati sayalah!
Ini hari saya.

Dan walau macam manapun saya cuba ubah diri dan terima
bahawa hari ni adalah seperti hari-hari biasa
dan ia tidak penting. Ia penting!

Dan saya akan menjadi sebak
dan mengalirkan air mata memikirkan bahawa
hari ini penting tetapi... awak tidak faham.

Dalam senarai perkara yang saya mahu buat pada tahun ini,
perkara pertama dalam senarai adalah
meluangkan hari lahir saya bersama awak!

Sekarang jam menunjukkan pukul 10.17 malam
dan jelas sekali selepas perbualan kita tadi
kita tidak akan sempat bersama sebelum hari ini berakhir.

Awak tahu tak betapa sakitnya hati saya
apabila awak tidak meletakkan saya sebagai
keutamaan awak?

Saya tidak berhargakah?

Awak tahu saya akan sabar menunggu
Awak tahu saya akan setia
Awak tahu walau banyak mana air mata tumpah
atau sebanyak mana saya merajuk
atau marah mengamuk
Saya akan kembali pada awak
Dan saya akan setia menunggu
Mungkin sebab itu saya tidak berharga
Kerana awak tahu saya akan menunggu

Tidak kiralah apa yang awak buat
Walaupun saya sangat terluka
Walaupun saya sedih sekali
Walaupun saya teramat kecewa
Walau sebanyak mana saya cuba fahamkan awak
tentang apa yang saya rasa

Awak akan buat keputusan yang sama

Saya penatlah awak
Sudah tiga tahun saya menunggu
bersabar dengan sikap dan kerenah awak
kerana cinta
dan kepercayaan bahawa cinta itu akan berbalas
dan awak akan melayan saya bagaikan bidadari syurga
yang paling berharga dalam hidup awak
isteri dan kawan baik awak
yang pertama dan terakhir
di dunia dan akhirat

Tinggi harapan saya kan?

Tapi saya tidak pernah putus asa tau
Saya terus menunggu
Dan apabila awak mahu saya tunggu dua tahun lagi
Saya tidak teragak menjawab pasti
Apalah sangat dua tahun ya
Apabila saya sudah menunggu tiga tahun lamanya

Penuh sengsara namun
saya gembira

Kerana saya cintakan awak
Dan setiap kali saya bersama awak
Saya akan gembira, teramat gembira
Bagaikan dunia itu kita berdua saja yang wujud

Namun ada kalanya saya penat
Saya kan wanita, amat nipis emosinya
Mudah terasa
Sensitif
Senang sekali dilukai

Namun saya juga lembut
dan mudah memaafi

Awak juga yang berkata begitu
Awak ada kuasa atas saya
Saya tidak dapat mahu marah lama-lama
dengan awak

Saya tidak boleh merajuk lama
dengan awak

Perasaan mahu bersama awak
mengatasi semua kebencian yang wujud
dalam diri saya terhadap awak

Saya amat mencintai awak
dan mungkin itu adalah kesilapan saya.

No comments:

Post a Comment